BUDAK CATAT REKOD TARIK KERETA
- berita hairan

KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya menarik sebuah kereta yang dinaiki empat individu, seberat kira-kira dua tan sejauh 120 meter, semalam.

T Santhosperumal, berjaya melakukan aksi terbabit dalam percubaan pertamanya, sekali gus melayakkan namanya direkodkan sebagai manusia termuda berjaya melakukan aksi itu di Malaysia.

Santhosperumal yang tiba ke lokasi terbabit dengan menaiki sebuah helikopter, diraikan dalam majlis penuh meriah oleh tetamu yang hadir termasuk pertunjukan seni mempertahankan diri Silambam.

Turut hadir bagi memberi semangat dan meraikan Santhosperumal ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah.

Santhosperumal kemudian memulakan percubaannya menarik sebuah kereta Mercedes Benz yang dinaiki empat lelaki dewasa, dengan berat keseluruhan adalah 1,955 kilogram dan berjaya menarik kenderaan terbabit sejauh 120 meter dalam masa tidak sampai tiga minit.

Percubaan itu dinilai berdasarkan umur, berat dan jarak kenderaan ditarik dari tempat permulaan oleh dua kakitangan Malaysia Book of Records Sdn Bhd.

Kanak-kanak itu menerima sijil pengiktirafan selepas kejayaannya itu diiktiraf dan disahkan.

0 comments: